comscore
Tumpuan :
Nasional

RISDA perlu fokus program baharu manfaatkan pekebun kecil – Ahmad Zahid

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) digesa untuk meneroka program baharu kepada pekebun-pekebun kecil.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu perlu diambil bagi membawa pembaharuan daripada terus bergantung kepada sektor getah semata-mata.

“Kita menghadapi saingan dengan getah sintetik, maka ini cabaran paling getir yang dihadapi oleh kita sehingga kerajaan menaikkan harga lantai getah dan kenaikan ini belum dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil”.

“Dengan kepimpinan baharu RISDA, saya mengharapkan RISDA mesti berubah dan melakukan ‘game changes’ supaya pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung dari perubahan ini,” katanya dalam ucapan sempena majlis Aprisiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA tahun 2023 di ibu negara.

Turut hadir adalah Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Khair Razman Mohamed.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penegasan itu perlu memandangkan RISDA akan memasuki fasa kedua penubuhan yang sebelum ini memfokuskan kepada sektor getah.

Justeru, beliau mengarahkan agar Mohd Khair Razman mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan RISDA hala tuju perubahan baharu yang akan direncakan kepada badan tersebut.

“Kita mesti bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementei Peladangan dan Komoditi, dari segi pengeluaran produk secara hiliran dimana kebergantungan kita banyak kepada penjualan bahan yang belum diproses.

“Getah umpamanya yang belum diproses kita terpaksa mengimport lebih RM6 bilion daripada negara jiran sedangkan kita adalah pengeluar getah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KKDW telah memperuntukkan sejumlah RM4.16 juta kepada RISDA untuk melaksanakan program Program Tuisyen Rakyat RISDA tahun lalu.

Peruntukan itu dapat memberi manfaat kepada 3,000 orang pelajar melibatkan 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen daripada 1,000 orang guru.

“Saya juga mengesyorkan agar universiti tempatan ketika cuti semester yang panjang saya mahu pelajar-pelajar ini dibawa masuk ke kampus bagi merasai suasana di sana lebih awal sebelum mereka menduduki peperiksaan.

“Ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar ini dan bawa ibubapa di hari terakhir agar ibubapa turut terpanggil bagi merasai kehidupan di kampus,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat di bawah KKDW melalui RISDA telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.

Tuisyen Rakyat RISDA bagi peperiksaan SPM Tahun 2023 majoritinya telah mencapai keputusan 5A ke atas, 2 orang pelajar mencatat keputusan cemerlang 12A, 19 orang menerima 11A dan 17 orang menerima 10A.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini