comscore
Tumpuan :
Nasional

Ringgit mata wang terbaik serantau enam bulan pertama 2024

Aliran masuk dana asing ke dalam pasaran sedang pesat membangun dijangka memanfaatkan ringgit – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit muncul mata wang serantau yang mencatatkan prestasi terbaik pada separuh pertama 2024 apabila merekodkan penyusutan paling rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Mata wang tempatan berada dalam aliran lemah yang meluas sejak permulaan 2024 sehingga menyentuh paras sokongan RM4.80 berbanding dolar AS pada 16 April lalu.

Namun sejak itu, ringgit telah pulih dengan agak baik bagi menjadikannya antara mata wang yang berprestasi terbaik di Asia setakat tahun ini.

Dalam tempoh enam bulan tahun ini, ringgit hanya mencatatkan penurunan 2.5 peratus berbanding dolar AS, mengatasi prestasi dolar Singapura (-2.6 peratus) dan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mata wang serantau lain iaitu peso (-5.5 peratus), baht (-6.8 peratus), rupiah (-6.0 peratus) dan dong (-4.7 peratus).

Mata wang Asia pula menyaksikan yuan mencatatkan prestasi terbaik pada separuh pertama tahun ini apabila susut 2.3 peratus berbanding dolar AS berbanding mata wang lain seperti dolar Taiwan (-5.7 peratus), won (-6.2 peratus) dan yen (-12.3 peratus).

MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, ringgit dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 dan menutup tahun ini lebih kukuh pada RM4.43 berbanding dolar AS apabila Rizab Persekutuan (Fed) semakin hampir untuk menurunkan kadar faedah.

Ia berkata, aliran masuk dana asing ke dalam pasaran sedang pesat membangun dijangka memanfaatkan mata wang serantau dan ringgit.

“Jangkaan pemulihan perdagangan luar Malaysia dan tinjauan ekonomi meyakinkan dijangka mengukuhkan prestasi ringgit tahun ini,” katanya.

BMI Research pula mengunjurkan ringgit meningkat daripada RM4.70 berbanding dolar AS pada masa ini kepada RM4.55 menjelang akhir 2024, dengan perbezaan kadar faedah yang mengecil bersama AS dan prospek pertumbuhan yang agak kukuh akan menyokong mata wang tempatan.

“Bagaimanapun, memandangkan kadar pertukaran sebahagian besarnya kekal tidak berubah sejak kemas kini sebelum ini pada April, kami mengekalkan unjuran ringgit untuk mencecah RM4.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024, membayangkan bahawa mata wang itu mungkin akan meningkat dengan lebih ketara pada suku keempat 2024,” BMI katanya dalam satu kenyataan.

Firma penyelidikan Fitch Solution itu juga berkata, ringgit akan mengukuh sebanyak 3.3 peratus tahun depan, mencecah RM4.40 menjelang akhir 2025, disokong oleh kelonggaran dasar selanjutnya sebanyak 200 mata asas, yang akan menurunkan kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) kepada 3.00 peratus menjelang Disember 2025.

Sementara itu, BMI juga menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus hingga akhir 2025.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) terkini mendorong BMI menyemak semula unjuran kadar Dana Persekutuan pada akhir 2024 daripada 4.75 peratus kepada 5.00 peratus, dengan kitaran longgar kini akan bermula pada September (berbanding Julai sebelum ini).

“Ini membayangkan bahawa perbezaan hasil yang mengecil akan menyokong ringgit, terutamanya jika kami membuat jangkaan yang tepat bahawa BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024,” kata BMI dalam satu nota.

Dari perspektif pertumbuhan, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia yang agak kukuh berbanding AS akan memberi petanda baik bagi sentimen pelabur dan memberikan latar belakang yang menggalakkan bagi ringgit.

“Kami menjangka pertumbuhan KDNK sebenar akan meningkat daripada 3.7 peratus pada 2023 kepada 4.4 peratus dan 4.5 peratus, masing-masing pada 2024 dan 2025.

“Sementara itu, kami menjangka pertumbuhan di AS perlahan daripada 3.6 peratus pada 2023 kepada 2.1 peratus peratus dan 1.4 peratus dalam tempoh yang sama,” kata firma penyelidikan itu.

BMI berkata sebagai bahagian KDNK, aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia secara konsisten mengatasi rakan serantaunya seperti Filipina dan Thailand.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini