Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ribut `mengganas’: bumbung rumah tercabut, kedai makan dihempap pokok besar 

 

JOHOR BAHRU: Ribut yang `mengganas’ ketika hujan lebat  meranapkan 50 premis kebanyakannya rumah penduduk di Kampung Melayu Majidee, di sini, petang tadi.

Selain rumah penduduk,  warung, kedai makan dan hentian bas di sekitar Jalan Rahmat, Jalan Setia, Jalan Afiat, Jalan Sehat, Jalan Merdeka dan Lorong Haji Omar Ahmad rosak teruk akibat kejadian pokok tumbang, selain atap  diterbangkan angin.

Pengusaha Warung Mak Jah di Jalan Merdeka, Khatijah Mohd Amin, 60, berkata dia terdengar deruan angin sangat kuat sekurang-kurangnya dua kali sebelum dimaklumkan anaknya kedai makan di sebelah rumah mereka dihempap pokok besar.

Pokok tumbang hempap sebahagian warung dan rumah di Jalan Merdeka di kampung Melayu Majidee. – FOTO: NSTP

“Makcik duduk dalam rumah selepas selesai solat kira-kira jam 3.15 petang dan hujan ketika itu memang lebat.

“Pokok besar tepi rumah menimpa hampir separuh kedai dan sebahagian rumah kami. Pokok ini makcik sudah niat nak cari orang untuk potong sikit, tetapi sudah tumbang.

“Akibat kejadian ini, bumbung tercabut menyebabkan rumah dimasuki air. Namun syukur semuanya selamat,” katanya.

Ibu tunggal, Jamaliah Abdul Manaf, 43, bersyukur apabila ibunya, Tijah Kassim, 73, yang sedang mengupas bawang di rumah terselamat ketika bumbung rumah habis diterbangkan ribut.

“Tiba-tiba hujan lebat dengan angin menderu datang sebelum bumbung terus tercabut…habis basah dapur dengan barang banyak yang pecah dan hancur,” katanya.

Jamaliah mengakui sebelum hujan dia ada lihat awan gelap sebelum dia terus mematikan elektrik.

Katanya, ia sebagai langkah keselamatan memandangkan dua tahun lalu pernah terjadi perkara sama.

Loading...
Terkini