KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka menjadi saksi solidariti rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama yang berhimpun bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ yang dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE itu turut disertai rakyat dari negara lain seperti Syria, Tunisia, Mesir, Sepanyol, Libya dan Pakistan, yang memenuhi padang seawal 10 pagi.
Ribuan peserta yang hadir, antaranya memakai mafela dengan motif Palestin, membawa plakad dan mengibarkan bendera negara berkenaan, melaungkan ‘Palestin’ dan ‘Israel shame of you’ bagi mengecam tindakan kejam rejim zionis.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia Stanley Yong dan Penasihat MyCARE Dr Hafidzi Md Noor.
Nurul Izzah dalam sidang media berkata perhimpunan solidariti yang diadakan hari ini penting dalam usaha membawa suara rakyat Malaysia mengenai hak-hak kemanusiaan rakyat Palestin di mata dunia.
“Kita mesti menolak Israel, kita mesti menamatkan dana Israel kerana mereka tidak akan dapat lakukan perkara ini tanpa sokongan dari Amerika Syarikat, dan kita mesti mempertahankan Palestin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi Bernama berkata perhimpunan itu berlangsung dengan aman dan pihaknya turut menerima makluman mengenainya mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu meragut ribuan nyawa. – BERNAMA