comscore
Tumpuan :
Hiburan

Ribuan penonton banjiri Konsert KJH Selangor Generasi Muda

SHAH ALAM: Ribuan penonton membanjiri Konsert Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, sekali gus menutup tirai hari kedua acara padang popular itu.

Konsert KJH Selangor Generasi Muda yang menjadi acara kemuncak hari ini menerima sambutan hangat pengunjung yang kekal menonton hingga tamat persembahan.

Konsert berlangsung hampir dua jam menampilkan penyanyi popular tanah air seperti Ismail Izzani, Khai Bahar, Aizat Amdan, Amelia Azizan, Amir Jahari, Baby Shima dan Floor 88.

Untaian lagu popular dipersembahkan setiap penyanyi berjaya memukau penonton, malah ada menyalakan lampu di telefon bimbit masing-masing dan melambai ke arah pentas sebagai tanda menghayati persembahan.

Tidak kurang, ada penonton mengambil gambar dan video agar dapat diabadikan sebagai kenangan.

Persembahan nyanyian diselang-selikan dengan segmen ‘chit-chat’ antara penyanyi undangan dan gandingan hos yang juga penyampai radio Hot FM, Fizie Ali dan Ayu berjaya menambah kemeriahan keseluruhan konsert dan menghiburkan penonton.

Konsert KJH Selangor Generasi Muda menjadi sebahagian acara pada siri jelajah pertama KJH bagi tahun ini dirakam dan disiarkan TV3, tidak lama lagi.

Turut hadir, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Terdahulu, acara padang paling lama bertahan di Malaysia, KJH kembali dengan tarikan baharu, malah lebih bermakna bersama sambutan ulang tahun ke-39 stesen televisyen nombor satu negara, TV3.

KJH Selangor Generasi Muda mula dianjurkan di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, semalam, sesuai dikunjungi seisi keluarga dengan pelbagai aktiviti bermula seawal jam 9 pagi hingga malam dan berakhir esok.

Loading...
Terkini