comscore
Tumpuan :
Nasional

Ribuan ikan ditemui mati di Sungai Sayong akibat pencemaran

Kes pencemaran air Sungai Sayong semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dan ia benar-benar menjejaskan sumber pendapatan penduduk.

KOTA TINGGI: Ribuan jenis ikan ditemui mati di Sungai Sayong berdekatan perkampungan masyarakat orang asli Sayong Pinang dekat sini, dipercayai berpunca daripada air sungai yang tercemar.

Kejadian disedari penduduk malam tadi dan lebih membimbangkan mereka mendakwa ini adalah kejadian ketiga dalam bulan ini.

Menurut salah seorang penduduk masyarakat orang asli yang juga nelayan tempatan, Azman Inang, mereka menyedari banyak ikan mati kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Antaranya, ikan baung, ikan talapia dan pelbagai spesis ikan sungai lain.

“Sungguh mengecewakan kami pihak nelayan bergantung pendapatan pada sungai, jadi bila perkara ini berlaku pendapatan kami nelayan telah terjejas jadi saya berharap sangat pihak kerajaan negeri Johor khususnya Menteri Besar Johor ambil beratlah tentang perkara ini” katanya yang ditemui pagi tadi.

Bagi Rosli Abd Hamid, kes pencemaran air Sungai Sayong semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dan ia benar-benar menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kalau tak silap saya dah tiga kali berlaku kes pencemaran sungai ini dan kes hari ini adalah yang terburuk” ujarnya.

Tambahnya, setiap kali berlakunya pencemaran nelayan tidak dapat turun ke sungai untuk mencari rezeki dan ada yang terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk menangkap ikan jauh daripada kawasan itu.

Beliau mendakwa sekiranya kes itu tidak ditangani segera, kesihatan penduduk akan terjejas.

Sebelum ini, lebih 38 penduduk orang asli di Kampung Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berdekatan selepas mendakwa sesak nafas dan sukar bernafas susulan pencemaran bau Sungai Linggui, iaitu anak Sungai Sayong.

Jabatan Alam Sekitar Johor yang dihubungi mengesahkan menerima laporan penduduk bersabit kes pencemaran itu.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini