comscore
Tumpuan :
Nasional

Rewang raya pewaris simbolik kekeluargaan UPSI

Prof Md Amin bersama Timbalan Presiden PEKA, Ts. Dr. Nazre Abdul Rashid (kanan) turun padang membantu PEWARIS menyediakan kuih raya untuk diedarkan kepada semua kakitangan UPSI.

TANJONG MALIM: Sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (PEWARIS) mengadakan program rewang dengan menyediakan juadah hari raya untuk semua kakitangan universiti itu.

Penyediaan juadah ini turut dijayakan oleh gabungan-gabungan semua persatuan dan kesatuan pekerja yang dikenali sebagai Jalinan Ikatan Persatuan dan Kesatuan Kakitangan UPSI (JITU) yang membabitkan Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRESTASI) dan Kesatuan Pegawai Am (KPA) sebagai simbolik kekitaan dan kekeluargaan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menzahirkan rasa bangga atas gabungan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini yang disifatkan sebagai suatu kejayaan dalaman bagi sesebuah organisasi.

Katanya, aura dan semangat kekeluargaan UPSI boleh dirasakan apabila beliau turut bersama-sama kakitangan dari pelbagai jabatan menghias biskut-biskut yang disediakan.
Beliau berkata sebanyak 2,200 balang biskut berjaya dihasilkan menerusi agihan tugas kepada setiap kumpulan.

“Pengorbanan semua kakitangan terhadap universiti senantiasa dikenang apalagi dalam situasi kita akan menyambut Aidilfitri yang akan disambut nanti, “ katanya.

Sementara itu Penaung PEWARIS, Pazilah Yahaya berkata penyediaan kuih raya ini dihasilkan sepenuhnya oleh kakitangan UPSI dengan penggunaan bahan mentah sekitar 120 kilogram coklat, 100 kilogram empingan jagung dan 10 kilogram mentega.

“Saya memanjatkan rasa kesyukuran dan menyifatkan objektif penganjuran ini tercapai apabila kelihatan ramai kakitangan dari pelbagai jabatan menyertai gotong-royong ini.
Beliau berharap kerjasama semua pihak akan terus terjalin demi kejayaan dan kecemerlangan UPSI.

Pengarah program, Siti Nurbaya Md Hashim pula berkata idea asal program ini dicetuskan oleh Prof Datuk Dr Md Amin yang memilih istilah “rewang” yang membawa maksud bergotong royong bagi menjayakan sesuatu majlis.

“Kami mula membuat kuih Coklat Cornflake pada 8.30 pagi dan selesai sepenuhnya pada jam 6.45 petang, katanya.

Loading...
Terkini