MUAR: Seorang lelaki mengalami retak bahu kiri selepas dirempuh babi hutan melintas di Parit Abok, dekat Parit Tengah, Bukit Naning, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, Mohd Shazwan Mohd Basir, 23, berkata kejadian sekitar jam 9.15 malam itu berlaku sangat pantas dan hanya nampak benda hitam melintas lalu merempuh motosikalnya.
Akibat rempuhan itu yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Parit Jawa ke rumahnya di Kampung Parit Haji Anuar dekat Mukim Ayer Hitam, mengalami kecederaan di kepala selepas terpelanting atas jalan
“Ia berlaku sangat pantas saya tidak sempat mengelak lalu dirempuh babi hutan itu dan haiwan itu tercampak ke parit tetapi saya bernasib baik kerana kebetulan rakan melalui kawasan itu lalu memberi bantuan.
“Jalan ini kerap saya lalui apabila pulang dari tempat kerja dan melalui jalan berkenaan kerana menjimatkan masa selain jarang dilalui orang ramai terutama waktu malam.
“Saya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Naning sebelum dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, doktor yang membuat pemeriksaan mendapati tulang bahu kiri saya retak,” katanya ketika ditemui.
Mohd Shazwan berkata, selain retak tulang bahu, dia juga luka di kepala selepas terhantuk di jalan.
“Saya perlu menjalani ujian imbasan di hospital sama Isnin ini untuk melihat sejauh mana kesan retakan itu.
“Mujurlah tiada kenderaan lain melalui tempat kejadian kerana saya terbaring betul-betul atas jalan, jika tidak nasib saya mungkin berlainan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin berkata, beliau melalui Pejabat Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Naning sudah melaporkan kejadian berkenaan pada Jabatan Perhilitan Muar untuk tindakan lanjut.
Katanya, isu dan masalah berkaitan ancaman haiwan liar ini juga dikemukakan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Muar agar diadakan pemantauan dan tindakan sewajarnya oleh agensi terbabit diambil.
“Isu haiwan liar terutama babi hutan semakin membimbangkan penduduk agar dapat diatasi dengan lebih berkesan.
Saya harap orang terutamanya warga Bukit Naning lebih berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan terutamanya pada waktu malam berikutan ancaman haiwan liar berkeliaran,” katanya.