Tumpuan :
Nasional

Restoran, pasar raya jual minyak masak paket kepada warga asing digempur KPDN

KPDN Selangor menyiasat pasar raya tular menjual minyak masak paket subsidi kepada pekerja restoran warga asing di Sungai Buloh. – FOTO: Ihsan KPDN

SUNGAI BULOH: Sebuah restoran dan pasar raya, di sini, digempur selepas didakwa terbabit dalam pembelian minyak masak paket subsidi oleh tiga pekerja warga asing seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa restoran itu pada Jumaat lalu dan turut melakukan pemeriksaan ke atas pasar raya berkenaan, keesokkannya.

Menurutnya, pasar raya terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila didapati tidak mempunyai lesen runcit untuk membekalkan barangan kawalan berjadual iaitu minyak masak paket sekilogram.

“Berdasarkan semakan rakaman litar pasar raya itu juga jelas menunjukkan transaksi pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing berkenaan.

“Pemilik restoran juga akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Katanya, pihaknya konsisten membuat pengawasan ke atas premis perniagaan di Selangor bagi mencegah kewujudan ruang yang membawa kepada ketidakpatuhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini