Tumpuan :
Nasional

Restoran nasi kandar popular dikecam, cuci periuk tepi longkang

Tangkap layar video tular

IPOH: Sebuah restoran nasi kandar popular di sini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas tular video memaparkan pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan bersebelahan longkang di belakang premis.

Klip video terbabit menarik perhatian meluas warganet yang bimbang terhadap tahap kebersihan makanan dan mendesak tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya akan membuat pengesahan terlebih dahulu ke atas video itu sebelum mengambil tindakan.

“Pihak saya akan menyiasat kesahihan video tular itu. Jika ia benar berlaku, operator restoran itu akan diberi amaran,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial yang berkongsi video terbabit mendakwa restoran nasi kandar itu terletak di Silibin, di sini gagal mematuhi garis panduan kebersihan kerana pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan setiap malam.

Pengguna itu turut mempersoalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kerana meluluskan lesen perniagaan restoran terbabit yang terletak bersebelahan taman perumahan.

Dakwa pengguna itu, berdasarkan syarat lesen, perniagaan di kawasan perumahan sepatutnya beroperasi hingga 12 tengah malam sahaja, tetapi restoran itu masih berbunyi bising dengan kerja-kerja mengemas jam 2 pagi.

“Ini menyebabkan kacau ganggu terhadap kejiranan ditambah muzik kuat dan bau masakan yang mengganggu.

“Saya pernah menasihati pemilik restoran terbabit, tetapi tiada sebarang perubahan,” dakwanya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklum balas daripada MBI masih belum berjaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini