Tumpuan :
Nasional

Restoran mamak sorok minyak peket dan tepung bersubsidi di asrama pekerja

DUYONG: Sebuah restoran mamak di Semabok di sini disiasat selepas didapati menyorokkan sebanyak 130 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dan 377 kilogram tepung gandum.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata kegiatan itu terbongkar hasil serbuan ke atas asrama pekerja restoran berkenaan jam 2.15 petang tadi.

Ia susulan aduan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem.

Menurut Norena, lebih mengejutkan apabila pihaknya turut menemui 20 kilogram minyak masak yang dipercayai dipindahkan daripada minyak peket ke dalam empat botol bersaiz lima kilogram.

“Mereka disyaki memindahkan minyak peket bersubsidi itu dengan menggunakan corong ke dalam botol dan melakukan penipuan.”

“Bila penguat kuasa datang ke premis akan mendapati minyak botol tanpa subsidi, sebaliknya mereka menggunakan minyak peket untuk mengaku keuntungan,” katanya.

Jelas Norena, selain minyak masak, pihaknya turut menyita 377 kilogram tepung gandum kerana pemilik restoran gagal mengemukakan dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual.

Norena ditemui selepas mengetuai serbuan mengejut di restoran berkenaan hari ini yang turut disertai Mohd Noor Helmy.

Norena berkata pihaknya percaya taktik terbaharu dilakukan pemilik restoran mamak itu ini susulan tindakan agresif pihaknya memeriksa premis disyaki melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan termasuk di restoran, kedai runcit dan pasar raya.

Katanya, pihaknya percaya restoran terbabit menggunakan taktik itu sejak empat bulan lalu dan menerima bekalan 20 kotak mengandungi 17 minyak peket setiap satu daripada pemborong tempatan.

“Minyak masak bersubsidi hanya untuk kegunaan isi rumah dan menjadi kesalahan apabila diguna pihak restoran untuk mengaut keuntungan berlebihan.”

“Pihak kami mempunyai kepakaran dalam hal sebegini, jangan cuba menipu.”

“Begitu juga kepada pemborong, saya beri amaran supaya tidak berlaku lagi perkara sebegini dan kita boleh tarik lesen mereka jika ingkar,” katanya lagi.

Norena berkata dalam serbuan itu pemilik restoran berkenaan turut dikompaun RM200 kerana tidak mempamerkan tanda harga pada semua menu jualannya.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, tindakan tegas dan pantas dilakukan pihak KPDN Melaka dapat menangani isu ketirisan dan penyelewengan barang kawalan.

“Saya pasti tangkapan (serbuan) kita pada hari ini tidak berakhir di sini, pastinya ada jejak akan dikesan sehingga kepada pembekal, pemborong atau pengilang sekalipun.”

“Kita nak tengok pengkhianatan itu berlaku di mana? Adakah pemborong yang mengkhianati rakyat atau pengilang itu sendiri?”

“Sebab bukan senang nak dapat 20 kotak (minyak peket) dalam satu masa, jadi pasti ada kawasan yang ‘kelabu’ yang perlu kita ambil tindakan segera untuk atasi masalah ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini