KOTA BHARU: Sebuah restoran yang sudah beroperasi lebih separuh abad di sini, dikenakan kompaun kerana menggunakan logo halal tak sah.
Serbuan dibuat jam 12.30 tengah hari semalam oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, semakan mendapati premis terbabit pernah memohon sijil halal pada 2021 tapi tidak lulus.
“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempamerkan logo halal tanpa sijil sah dan kesalahan itu melanggar Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Turut dirampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) serta dua unit banting pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai menjadikan nilai rampasan RM150,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, jika sabit kesalahan, pertubuhan atau perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM10 juta.
Bagi bukan pertubuhan atau perbadanan pula, tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.