comscore
Tumpuan :
Nasional

RESPA sumbang RM10,000 kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin MPB

Presiden RESPA, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin menyampaikan sumbangan kepada Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Kamarudin Mape.

PETALING JAYA: Prihatin dengan nasib menimpa rakyat Palestin, Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) turut mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban mereka.

Sumbangan disalurkan menerusi Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Bertempat di Sri Pentas, sumbangan disampaikan oleh Presiden RESPA, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin kepada Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Kamarudin Mape.

Sumbangan berjumlah RM10,000 itu hasil kutipan daripada ahli-ahli RESPA sejak dua minggu lalu.

Menurut Datuk Meor, bantuan berkenaan diharap dapat membantu meringankan sedikit sebanyak kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin akibat ditindas rejim zionis.

Tegas beliau, serangan terhadap penduduk Palestin tidak sepatutnya berlaku terutama kekejaman terhadap wanita serta kanak-kanak dan perbuatan itu sama sekali tidak dapat diterima.

Turut hadir, Naib Presiden RESPA, Datuk Ahmad Nadzer Nordin, Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Ahmad Zufami Mohd Ghazali, dan Pengerusi Bahagian Kebajikan, Eliza Jasmin Hashim.

Ketegangan yang memuncak sejak 7 Oktober lalu telah meragut nyawa lebih 10 ribu rakyat Palestin termasuk sebahagiannya golongan wanita dan kanak-kanak.

Loading...
Terkini