HULU BERNAM: Replika rumah peneroka FELDA ini bukan sahaja unik, malah mengimbau kembali nostalgia rumah yang dibina di jalan kawasan perumahan dekat FELDA Sungai Tengi Selatan.
Menurut Ketua Peneroka, Mohd Som Ismail 67 tahun, replika terbabit adalah reka bentuk binaan rumah asal peneroka yang struktur binaan berasaskan kayu dan papan.
Rumah asal menggunakan tangga kayu dan mempunyai ruang beranda untuk peneroka bersantai pada waktu senggang sambil menghilangkan penat lelah saban hari berkerja.
” FELDA berkenaan dibuka pada tahun 1988 dan ketika itu inilah reka bentuk rumah asal peneroka yang dibina daripada kayu dan papan sahaja.”
Replika rumah peneroka ini mampu mengimbau kembali zaman dahulu dan mengingatkan kita betapa sukarnya generasi terdahulu membangunkan tanah rancangan berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Bercerita lanjut, Mohd Som berkata, generasi muda boleh melihat dan membandingkan rumah peneroka terdahulu dan masa kini.
Katanya, binaan rumah peneroka FELDA berkenaan pada masa kini jauh berubah di samping mempunyai segala kelengkapan dan kemudahan infrastruktur.
“Inilah kemajuan yang dibawa oleh pihak kerajaan menerusi FELDA dan saya berharap generasi muda sedar bahawa bukannya mudah menikmati apa yang sedang mereka kecapi sekarang. Hargailah dan berusahlah membangunkan FELDA yang ditinggalkan atau diwarisi generasi terdahulu supaya kawasan tanah rancangan berkenaan terus maju dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi,” katanya.
Di samping itu, hiasan dan dekorasi laman luar replika rumah berkenaan secara tidak langsung mampu menaikkan seri kawasan malah mencuri tumpuan orang ramai yang lalu lalang di jalan terbabit.
Malah, di sebelah kanan replika pula terdapat tempat orang ramai bersantai dikenali ‘ Port Budak Felda’.
Mohd Som berkata, replika rumah berkenaan bukan sekadar hiasan namun mempunyai banyak kenangan dan pengajaran yang harus menjadi ikthibar kepada golongan muda.