Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Naga, menjadi antara simbol penting dalam kebudayaan masyarakat Cina.
Bersempena tahun naga dalam sambutan Tahun Baharu Cina, perlambangannya adalah ia bakal dilimpahi dengan tuah, kekayaan, kekuasaan dan kebijaksanaan.
Maka tidak hairanlah, sekiranya usaha digerakkan bagi mempamerkan imej naga pada skala yang besar dalam setiap hiasan di seluruh negara.
Memasuki tahun ke-10, Kampung Warisan Kebudayaan Pertubuhan Kebajikan San Sheng, Alor Setar meneruskan tradisi membuat hiasan replika Tahun Baharu Cina bagi tatapan umum.
Kali ini, replika naga sepanjang 30 meter dibina sebagai tarikan utama dengan menggunakan barangan terpakai.
Penasihat Tetap Pertubuhan Kebajikan Sen Sheng, Pang Hu Khong berkata, replika itu mengambil masa tiga bulan untuk dibangunkan sepenuhnya.
“Majoriti dari masa ini adalah untuk melakukan rekaan, selain mengumpul barangan terpakai bagi digunakan dalam replika ini. Antara barangan terpakai yang digunakan adalah papan iklan, penutup botol, dan bakul plastik.”
“Kos bagi membangunkan replika ini sekitar RM5,000 sahaja. Ini kerana kerja-kerja fizikal banyak dilakukan oleh sukarelawan yang terdiri dari ahli jawatankuasa pertubuhan,” katanya.
Pengerusinya, Ong Soon Boon pula menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung ke kampung warisan itu.
“Saban tahun kita menerima puluhan ribu pengunjung. Ini adalah antara tarikan penting di Alor Setar dari sudut pelancongan.”
“Selain replika naga ini, banyak lagi hiasan yang menjadi struktur tetap dan boleh digunakan sebagai lokasi merakam memori termasuk dikalangan pengantin baharu,” katanya.
Kampung warisan ini akan mula dibuka kepada pengunjung awam sepanjang 15 hari bermula 10 hingga 24 Februari ini.