KANGAR: Replika naga seberat 200 kilogram (kg) menjadi tarikan istimewa di Karnival Tahun Baharu Cina, Arau yang akan bermula pada 2 hingga 4 Februari nanti sempena sambutan Tahun Baharu Cina, dihasilkan sukarelawan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis.
Naib Presiden dewan perniagaan itu Ng Ban Hock berkata 20 sukarelawan terlibat menyiapkan replika naga berukuran 20 meter panjang dan 3.6 meter tinggi itu, dengan gerak kerja pembinaannya bermula sejak Oktober lepas lagi, dan ia dijangka siap akhir bulan ini.
“Kami memilih untuk hasilkan sendiri replika naga ini kerana jika ingin membelinya dari luar ia memakan kos lebih RM30,000, oleh itu kami bekerjasama di waktu lapang untuk hasilkan sendiri replika naga yang hanya menelan kos bahan lebih RM 10,000,” katanya.
Ng berkata sukarelawan yang mempunyai masa terluang akan datang ke perkarangan pejabat dewan perniagaan itu di sini untuk menyiapkan replika naga berkenaan bermula pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam setiap hari.
Beliau berkata pihaknya menghasilkan replika arnab pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lepas dan mengharapkan kewujudan replika naga itu pada tahun ini akan memeriahkan serta memberikan kegembiraan kepada mereka yang menyambut perayaan itu.
Sementara itu, Pengerusi Karnival Tahun Baharu Cina di Pekan Lama Arau itu Tay Tun Lian berkata orang ramai boleh memeriahkan suasana Karnival Tahun Baharu Cina itu dengan mengambil gambar bersama replika naga itu yang akan dipamerkan di tepi sungai di Pekan Lama Arau nanti.
“Karnival ini akan bermula dari 2 hingga 4 Februari, manakala replika naga ini akan terus diletakkan di situ sebagai tarikan baharu kepada orang ramai,” katanya. – BERNAMA