JOHOR BAHRU: Pemandu van sekolah yang terbabit dalam insiden kematian kanak-kanak perempuan 5 tahun yang dirempuh dengan kenderaannya dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk didakwa di mahkamah.
View this post on Instagram
Pemandu van wanita berusia 50 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian itu, mangsa, murid prasekolah dirempuh van sekolah di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang kira-kira jam 11.35 pagi semalam.
Pemandu terbabit sebelum itu menurunkan mangsa dan abangnya berusia 6 tahun di depan rumah.
Dia meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi belakang van dan beranggapan mangsa mengekori abangnya.
Pemandu meneruskan perjalanan dan merempuh mangsa sedang yang lalu di hadapan van.
Akibat kejadian, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan Masai.
Sementara itu, keluarga mangsa Nurhafizah Nuljin menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan kes itu.
Ibu mangsa, Karmin Kahil, 39 tahun, yang berasal dari Sabah reda dengan pemergian anak bongsu daripada tujuh beradik itu.
“Tak ada bising pula anak macam dah bunyi tengok.. Tengok akak tu dah datang.. ‘kak, kak, anak akak dah terlanggar’. Kita ibu ni kan dah macam lain rasa. Saya cakap, ‘kenapa anak saya?’ Dia cakap ‘sorry kak saya minta ampun, anak akak kena langgar’.”
Kejadian menyebabkan abang mangsa Muhammad Afieq Miqhael, 6 tahun yang menaiki van sekolah sama, trauma setelah menyaksikan insiden itu.
Jenazah Allahyarham Nurhafizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, kira-kira jam 6 petang semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.