KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kajang membenarkan sambungan reman selama lima hari terhadap tiga beranak yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pelajar Tingkatan Tiga, Yap Xin Yuan, 15, bermula esok.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada teman lelaki mangsa berusia 17 tahun, abangnya berusia 21 tahun, dan bapa mereka berusia 52 tahun, yang ditahan pada 30 Disember lalu dan sebelum ini direman selama enam hari.
Majistret Fatin Dayana Jalil meluluskan permohonan lanjutan reman sehingga 10 Januari ini bagi memberi ruang kepada pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara motif yang disiasat polis ketika ini dalam menyiasat kes pembunuhan Xin Yuan.
Mayat Xin Yuan, 15, ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting, pada 28 Disember lalu, iaitu lapan hari selepas laporan kehilangannya dibuat pada 20 Disember lalu di Kajang.
Keadaan mayat yang reput menyukarkan pakar patologi untuk mengenal pasti kecederaan fizikal lain, menurut Datuk Hussein. Polis juga percaya teman lelaki mangsa terbabit dalam pembuangan mayat dan sedang menyiasat kemungkinan pembabitan individu lain.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember terbongkar selepas mayatnya ditemukan di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang pada 30 Disember.
Remaja itu hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada jam 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.