Tumpuan :
Nasional

Reman 24 ahli, CEO GISBH disambung 5 hari lagi – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Seramai 24 individu termasuk pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali,direman lima hari lagi bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu, berkata kesemua mereka disambung reman sehingga 4 Oktober ini untuk siasatan berkaitan satu laporan kes ekploitasi buruh paksa.

Menurutnya, kesemua direman berkait siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

“Mereka ditahan reman sekali lagi susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa di Cheras yang dieksplotasi suspek ketika bekerja disyarikat terbabit dan tidak menerima bayaran gaji,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk CEO GISBH ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini kira-kira jam 5.40 pagi, 19 September lalu.

Lima lagi individu termasuk seorang anak kepada pimpinan utama GISB Holdings itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu.

Kesemua 24 individu terbabit berusia 25 hingga 65 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 19 September lalu dan ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Selepas reman mereka tamat pada 25 September, tempoh reman disambung lagi empat hari sehingga semalam.

Terdahulu, Razarudin dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 laporan bekas pengikut GISBH yang mendakwa dijadikan ‘buruh paksa’ kumpulan itu.

Razarudin dilaporkan berkata laporan itu muncul susulan gesaan beliau supaya mangsa yang pernah dieksplotasi kumpulan itu tampil membuat laporan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini