
KUALA LUMPUR: “Brek motosikal memang patah sendiri tetapi saya akan ganti (pasang baru) selepas dapat gaji.”
Itu alasan diberikan remaja lelaki yang motosikal ditunggangnya tidak mempunyai brek belakang kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Lelaki berusia 19 tahun itu antara pengguna jalan raya yang diambil tindakan dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi ketika dalam perjalanan pulang dari ibu kota ke rumahnya di Tanjung Minyak, Melaka.
Tindakan remaja itu menunggang motosikal tanpa brek belakang mengundang risiko bukan saja kepada dirinya, malah pengguna jalan raya lain, apatah lagi menempuh perjalanan jauh lebih 100 kilometer.
Bukan saja tanpa brek belakang, malah motosikal pekerja kilang itu juga tidak mempunyai cermin sisi pada kedua-dua bahagian dan turut tiada nombor pendaftaran hadapan.
Dia mendakwa brek motosikalnya patah sendiri dan bukannya dia sengaja mengubahsuai atau membuangnya namun berjanji akan memasang alat ganti baharu jenteranya itu selepas menerima gaji.
Katanya, dia bersiar-siar ke Sendayan, Negeri Sembilan sebelum mengambil peluang cuti hujung minggu untuk makan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesalahan teknikal seperti tayar dan brek menjadi kesalahan yang kerap dalam setiap operasi dilakukan pihaknya.
“Semua pengguna dan pemilik kenderaan atau pemilik syarikat kenderaan diingatkan supaya sentiasa memeriksa kenderaan mereka untuk keselamatan masing-masing termasuk pengguna lain” katanya pada operasi bersepadu berkenaan, di sini, semalam.
Operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.
Aedy Fadly berkata, dalam operasi berkenaan, malam tadi sebanyak 3,020 kenderaan diperiksa dan 377 kenderaan dikenakan tindakan dengan sebanyak 755 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain sembilan motosikal disita
Menurutnya, notis dikeluarkan membabitkan kesalahan seperti lesen memandu sebanyak 204 kes, lesen vokasional (2), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (145), tiada perlindungan insuran (134) dan mengubahsuai kenderaan (11).
“Selain itu kesalahan nombor pendaftaran sebanyak 11 kes, cermin gelap (85), lain-lain kesalahan teknikal (65) dan lain-lain kesalahan sebanyak 10 kes,” katanya.
Dalam pada itu, hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan AADK mendapati tiga individu positif dadah, manakala pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 17 notis saman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.