KENINGAU: Seorang remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi bersama rakan di sungai Kampung Kamansi, Bingkor, di sini, petang tadi.
Mangsa, Ferdinho Jamius, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 4.50 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat seterusnya operasi SAR dijalankan.
“Mangsa akhirnya ditemui oleh pasukan bomba jam 5.48 petang di lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pengadu, mangsa dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai bersama rakan-rakannya.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 7.03 malam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.