comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja tidak pulang rumah ditemui selamat

KOTA TINGGI: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 19 Julai lalu, ditemui selamat di Pasir Gudang, semalam.

Siti Nur Balqiesh Rasid, 17, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Penawar itu ditemui orang awam di sebuah kedai makan berhampiran hentian bas di Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, remaja terbabit ditemui selepas orang awam mengecamnya menerusi hebahan orang hilang yang disiarkan polis di media sosial.

“Ibu kepada remaja perempuan itu sudah dihubungi dan mengambil Siti Nur Balqiesh sebelum dihantar ke Balai Polis Bandar Penawar untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Hussin berkata, Siti Nur Balqiesh yang juga pelajar di sebuah kolej vokasional Johor Bahru berada dalam keadaan sihat dan baik ketika ditemui.

Pada 19 Julai lalu, Siti Nur Balqiesh dilaporkan hilang selepas dikesan keluar dari rumahnya di Bandar Penawar kira-kira jam 7 malam.

Menurut Hussin, bapa remaja itu membuat laporan polis berhubung kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu di Balai Polis Bandar Penawar pada malam hari kejadian.

Katanya, remaja terbabit dipercayai merajuk kerana mahu menukar kursus yang diambil.

Pada hari kejadian, ibu bapa remaja berkenaan difahamkan sudah pun menjemput Siti Nur Balqiesh dari kolej berkenaan dan dibawa pulang ke rumah mereka di Bandar Penawar di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini