REMBAU: Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dikatakan merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan- U secara mengejut, di Kilometer (KM) 32.1, Jalan Seremban- Tampin, Pekan Chengkau, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, mangsa Nurul Khaiira Mohd Zamri, 17 disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Katanya, kejadian pada jam 8.10 malam itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa dan kereta jenis Proton Persona 1.6 dipandu lelaki berusia 27 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Seremban Jaya, Seremban, menghala ke Tampin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai melanggar sisi kanan kereta berkenaan yang tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ di hadapan iaitu dari bahu jalan sebelah kiri arah yang sama dan mahu berpatah balik ke arah Pekan Rembau,” katanya.
Tambah beliau, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan dan disahkan maut oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan kes masih diteruskan dan orang ramai atau saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.