Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan hilang ditemui selamat

Sofan Feroza Md Yusof (kiri) bersama anaknya, Sofea Auni Adila, 14, yang ditemui selamat selepas hilang sejak Selasa lalu. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Beberapa jam selepas berita kehilangan remaja perempuan, Sofea Auni Adilah Sofan Feroza, 14, disiarkan media semalam, remaja terbabit ditemukan selamat di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bapa remaja itu, Sofan Feroza Md Yusof, 45, berkata, dia menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan anaknya berada di Kepala Batas.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus bergegas ke sana dan sampai jam 6.30 petang.

“Ketika sampai di sana, saya dapati anak saya ketika itu berada bersama seorang lelaki.

“Bimbang akan sesuatu terjadi pada Sofea Auni, saya kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sofan Feroza berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu pencarian selain menyebarkan maklumat kehilangan sehingga anak bongsu daripada tiga beradik itu ditemui selamat.

Terdahulu, seorang pelajar tingkatan dua dilaporkan hilang ketika pergi ke taman permainan di rumah ibunya di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani pada petang Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang dihubungi berkata, seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan berkaitan kes kehilangan remaja perempuan berkenaan.

“Remaja perempuan itu dihantar untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultan Abdul Halim sebaik dibawa bapanya ke IPD lewat petang semalam.

“Suspek kini dalam proses permohonan reman untuk membantu kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini