JOHOR BAHRU: Seorang remaja 18 tahun meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan di Iskandar Puteri, hari ini.
Mangsa, Nur Adriana Ibrahim adalah anak kepada bekas wartawan Harian Metro (HM), Ibrahim Isa, 48.
“Ketika dia memeluk saya sebelum keluar bekerja, tiada sebarang perubahan pada dirinya (yang kelihatan), namun saya yang berasa sesuatu dan menciumnya sepuasnya,” kata Nazaliza Jali, 48, ibu kepada remaja yang maut dalam kemalangan
Menurut Nazalia, dia tidak menyangka pertemuan pagi tadi dengan anak sulungnya itu adalah yang terakhir sebelum mereka menerima perkhabaran duka petang tadi.
Ketika kejadian, anaknya itu berkemungkinan dalam perjalanan bertemu rakan untuk menghantar makanan.
“Anak saya memang seorang yang murah hati dan suka belanja ahli keluarga dan rakan. Dia juga rajin bekerja dan anak yang baik.
“Dia baru saja bekerja sambilan untuk menambah pendapatan dan motosikal yang digunakan itu dibeli hasil pendapatannya, dua bulan lalu. Dia sayang motosikal itu.
“Kami terkilan apabila mendapat berita kemalangan menimpanya pada kira-kira 4 petang tadi. Difahamkan kejadian berlaku pada 2 petang dan motosikalnya terbabas sendiri dan rempuh penghadang jalan, namun kami masih tunggu maklumat lengkap,” katanya.
Nazaliza berkata, seorang individu dipercayai pengguna jalan raya ketika kejadian berlaku yang tampil ke rumahnya di Bandar Baru Uda untuk memaklumkan kejadian, sebelum dikunjungi anggota polis.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dia terkilan apabila hasrat anaknya untuk melanjutkan pengajian selepas mengumpul wang hasil bekerja tidak kesampaian
“Selepas tamat persekolahan dia tidak mahu berehat dan mahu bekerja bagi menimba pengalaman. Selepas itu baru sambung belajar,” katanya yang memaklumkan jenazah arwah akan dikebumikan esok di tanah perkuburan di Danga.
Ketika ini, jenazah ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan kemalangan berlaku yang meragut nyawa remaja berusia 18 tahun.
Katanya, siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri dalam kejadian pada 2.45 petang di Lebuh Kota Iskandar arah ke Gelang Patah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi talian 07-5101322,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.