comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja patah kaki ditimpa wakaf akibat ribut, hujan lebat di Bandar Chukai

Keadaan atap yang diterbangkan ribut kencang di Sekolah Agama Al Falah di Kemaman. – FOTO: NSTP

CHUKAI: Remaja lelaki patah kaki kanan selepas ditimpa sebuah wakaf yang runtuh dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Bandar Chukai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian ribut itu dipercayai berlaku jam 4 petang membabitkan jarak kira-kira tiga kilometer bermula dari Bandar Chukai.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berusia 13 tahun itu dipercayai sedang berlindung di bawah wakaf di kawasan Pantai Teluk Mak Nik.

“Pasukan perubatan dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

“Kejadian ribut kencang berlaku dalam tempoh kira-kira 15 minit menyebabkan banyak pokok tumbang di jalan utama.

“Kita juga dimaklumkan ada rumah penduduk dan sekolah yang terbabit namun kita masih belum memperoleh maklumat yang terperinci,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, selain laporan pokok tumbang, pihaknya menerima laporan tiang lampu yang terbalik serta dua sekolah yang rosak akibat dibadai ribut.

“Dua sekolah yang terbabit ialah Sekolah Agama Al Falah dan Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Iman.

“Ketika ini, anggota sedang melakukan kerja mengalih pokok tumbang di jalan utama dengan bantuan anggota polis bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini