
SEREMBAN: Seorang remaja Orang Asli dari Kampung Chergun, Kuala Pilah, maut akibat penyakit kusta, manakala lapan lagi penduduk dari dua kampung Orang Asli kini menerima rawatan selepas disahkan menghidap penyakit sama.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata remaja berusia 18 tahun, Shynaiza Hamzah, meninggal dunia pada Isnin lalu selepas mengalami demam selama seminggu.
Menurut Aminuddin, hasil saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sembilan penduduk Kampung Orang Asli (KOA) menghidap kusta.
“Lima orang dari Kampung Chergun dan empat orang dari KOA Guntur, Kuala Pilah. Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) menerima senarai nama pesakit.
“Perbincangan diadakan, namun, pada 17 Februari lalu, seorang daripada pesakit terbabit telah meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Mingguan Exco di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu saringan secara agresif dijalankan oleh KKM, yang membabitkan 65 peratus penduduk.
“Saringan seterusnya akan dibuat dibuat KOA terbabit pada Sabtu ini,” katanya yang memberitahu pesakit berusia antara 15 hingga 85 tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.