comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja nyaris maut termakan biskut dicampur racun

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Kampung Dadong di sini, nyaris maut selepas termakan biskut yang dicampur racun dalam kejadian Jumaat lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 1.45 petang itu, Mohd Daynail Haikal Alias, dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman selepas pengsan ketika dirawat di Klinik Kesihatan Air Puteh.

Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik seorang penduduk kampung untuk memancing yang terletak kira- kira tiga kilometer dari kediamannya.

Mangsa dikatakan telah makan sekeping biskut yang dipercayai dicampur racun untuk menghalau kera dan beruk yang digantung di atas sebatang kayu di kebun terbabit.

Menurut bapa mangsa, Alias Saras, 57 tahun ketika dihubungi berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anak keempat dari lima beradik itu selepas diberitahu oleh isterinya Roslina Ahmad, 52 tahun.

Katanya selepas makan makanan itu anaknya pengsan sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan.

Bagaimanapun, Alias bersyukur anaknya itu semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada jam 4 petang tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini