comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja menyamar pegawai perubatan dirujuk pakar psikiatri

FOTO: NSTP

SEPANG: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di Serdang, akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati tindakan remaja itu dipercayai akibat fikiran terganggu.

“Tiada sebarang motif dan dia (suspek) akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri.

“Remaja itu akan dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas tempoh remannya tamat hari ini sementara kertas siasatan dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, Mahkamah Majistret Sepang mengeluarkan perintah reman dua hari sehingga hari ini terhadap remaja itu bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan kerana dipercayai menyamar sebagai pegawai perubatan selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan remaja itu ditahan jam 9 pagi di lobi HSIS dekat sini.

Siasatan awal polis mendapati suspek menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini