Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Remaja menyamar pegawai perubatan akan dirujuk ke JKM

 

SEPANG: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan sebelum ini kerana menyamar sebagai pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu di ambil memandangkan remaja berkenaan masih di bawah umur.

Menurutnya, pada masa sama, kertas siasatan akan dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sebaik ia dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Terdahulu dilaporkan polis memaklumkan remaja berkenaan akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri dalam masa terdekat.

Siasatan awal mendapati tindakan remaja itu dipercayai akibat fikiran terganggu dan dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan remaja itu ditahan jam 9 pagi di lobi HSIS dekat sini.

Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan oleh remaja berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati suspek menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini