BATU PAHAT: Seorang pelajar mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan merogol kenalan perempuan di sebuah kebun komuniti, tahun lalu.
Majistret, Arun Noval Dass, menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan juga perintah ke atas tertuduh berusia 16 tahun itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 oleh seorang penjamin, sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, pelajar tingkatan tiga itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kebun komuniti di bandar ini, pada jam 11.30 malam, November tahun lalu.
Berikutan itu, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan laporan, mangsa keluar bersama tertuduh membonceng sebuah motosikal dan bersiar-siar di sekitar bandar ini.
Mangsa dan tertuduh kemudiannya singgah di sebuah kebun sebelum dibawa ke sebuah stor untuk melakukan perbuatan itu.
Tertuduh ditahan pada jam 12.20 tengah malam di tepi jalan pada 7 Februari lalu bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam bela, Haryanti Othman, daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.