Tumpuan :
Nasional

Remaja maut terkena renjatan elektrik sempat puji masakan ibu

Nur Suraya Abdul Rahman menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang maut selepas terkena renjatan elektrik bersama empat lagi rakannya di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Ibu kepada remaja yang maut terkena renjatan elektrik di kawasan sawah, Kampung Tanjung Putus, di sini, petang semalam sempat mengajarkan dua kalimah syahadah sebelum anaknya pergi buat selama-lamanya.

Nur Suraya Abdul Rahman, 42, berkata keadaan anaknya ketika itu menyayat hati kerana sedang bertarung nyawa.

“Saya sempat ajar anak mengucap dua kalimah syahadah tetapi keadaannya ketika itu nazak dan tidak sedarkan diri.

“Namun arwah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Nerang. Ketika itu keadaan 50-50 manakala empat lagi rakannya turut melecur,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut di kabel elektrik di Kampung Tanjung Putus, di sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, empat lagi rakannya berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun masing-masing melecur di bahagian muka, kaki dan badan.

Menurut Nur Suraya, dia mengetahui kejadian itu sekitar jam 7 petang semalam ketika dua rakan anaknya datang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang.

Katanya, pada mulanya dia menyangka Muhammad Hariyz Akief pulang ketika itu, namun tidak sedap hati apabila terdengar orang memberi salam.

“Saya buka pintu dan terkejut melihat dua rakan anak datang ke rumah dan memberitahu Akief tidak sedarkan diri di kawasan sawah tidak jauh dari rumah.

“Ketika itu, suami, Noraimi Ahmad, 42, baru pulang kerja dan kami terus bergegas ke lokasi sebelum mendapati Akief tidak sedarkan diri manakala keempat-empat rakannya penuh dengan lumpur dalam sawah,” katanya.

Nur Suraya berkata, tiada perubahan berlaku pada anaknya pada hari kejadian tetapi semalam, anaknya itu sempat makan tengah hari bersamanya.

Katanya, arwah turut memuji masakannya semalam selain makan penuh berselera sebelum keluar rumah tidak lama kemudian.

“Padahal saya hanya masak ayam goreng dan sambal belacan saja tapi dia cakap, sedap ibu masak hari ini dan kami hanya makan dua beranak ketika itu.

“Akief atau pun Angah seorang anak yang baik dan dalam keluarga dia paling ceria…Malah ketika abangnya, Muhammad Shabil Airil, 17, dimasukkan ke wad hospital akibat penyakit asma Jumaat lalu, Akief yang jaga adiknya, Muammar Luthfil Hadi, 7, di rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, arwah anaknya itu juga lebih suka bergaul dengan orang yang lebih tua daripadanya termasuk rakan-rakan abangnya.

Katanya, mereka sekeluarga terasa sangat kehilangannya kerana dia suka mengusik adiknya selain perwatakannya sangat yang ceria.

“Saya redha dengan apa yang berlaku sudah ketentuan Illahi dan akan menyimpan segala kenangan bersamanya sampai bila-bila terutama barang miliknya di rumah yang sangat banyak,” katanya.

Nur Suraya berkata, dia berharap semua rakan anaknya yang kini ditempatkan di HSB beransur pulih walaupun dimaklumkan seorang daripada mereka melecur teruk di badan.

Katanya, jenazah Muhammad Hariyz Akief dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Putus, di sini sebaik selesai urusan di HSB.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini