KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menggantung operasi bas yang terbabit dengan insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja ketika mengecas telefon semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, satu pasukan petugas khas terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, APAD dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga akan diaktifkan untuk menyiasat punca insiden berkenaan.
Beliau berkata ia memastikan insiden seperti itu tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
Ini kerana katanya, Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden seumpama itu.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya di Facebook rasminya, hari ini.
Seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ketika itu menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, berkata insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun jam 7.40 malam.-BERNAMA