
GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Felda Chiku 3, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa, Muhammad Hanif Asraf Mohd Mazlan, 19, dari Felda Chiku 3 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, SuperintendenSik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dipercayai dari arah jalan utama Felda Chiku 1 menghala masuk ke Jalan Chiku 3.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba seekor lembu melintas dari kiri ke kanan jalan dan mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar haiwan terbabit.
“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa dibantu oleh orang awam dan dibawa ke Klinik Felda Chiku 3, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, diminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaaan kejadian menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan, dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang di talian099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 013-3010408.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.