comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja maut, motosikal rempuh SUV

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit nahas dengan sebuah kenderaan di Kilometer 13.1 Lebuhraya Guthrie arah selatan, semalam.

Dalam kejadian jam 2.48 pagi, mangsa seorang lelaki berusia 18 tahun itu dalam perjalanan dari arah Rawang ke Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier.

“Mangsa yang menunggang Yamaha RXZ melanggar bahagian belakang SUV terbabit di lorong kedua dari kanan dan jatuh ke jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah dialami di beberapa bahagian tubuh badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hafiz, pemandu Toyota Harrier pada mulanya meninggalkan lokasi sebaik kemalangan, namun berjaya dikesan.

Seterusnya satu laporan polis dibuat pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Katanya, SUV terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan, justeru kita mohon bantuan saksi atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung nahas itu untuk tampil membantu siasatan polis.

“Saksi boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 untuk menyalurkan maklumat atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini