comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja maut, motosikal rempuh kereta buat pusingan U

MARANG: Seorang remaja lelaki dalam perjalanan untuk makan malam di Pantai Peranginan Kelulut, di sini, maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah Proton Saga yang membuat pusingan U.

Wan Shahril Izwan Wan Mohd Kamalrubahrum, 20, dari Kampung Batu Putih, di sini, meninggal dunia kira-kira jam 10.30 malam ketika dalam rawatan di unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat parah di kepala.

Kemalangan jam 9.13 malam di Kilometer 19 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Seberang Marang itu berlaku ketika mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR dalam perjalanaan dari arah Kuala Terenggganu menghala ke Kelulut.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris, berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 52 tahun yang memandu Proton Saga terbabit dan dalam perjalanan dari arah sama, pada mulanya dikatakan berhenti di sebuah kedai menjual sate di kiri jalan.

Katanya, guru sebuah sekolah di Kulim, Kedah itu kemudian membuat pusingan U untuk ke rumah mentuanya di Kampung Rusila, di sini, selepas membeli sate.

“Pada masa sama, mangsa dikatakan gagal mengelak kereta itu sebelum melanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan terbabit.

Mangsa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke HSNZ sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya hari ini.

Mohd Zain menjelaskan, pemandu serta dua lagi penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Loading...
Terkini