comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja maut, motosikal cuba potong lori

Keadaan motosikal ditunggangi mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Paya Luboh, Bukit Rambai. – Foto: ihsan IPD Melaka Tengah

MELAKA: Seorang remaja maut ketika dalam perjalanan bertemu rakan apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Paya Luboh, Bukit Rambai di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa dan seorang lagi rakannya datang dari arah Bukit Rambai menghala ke Tangga Batu.

Menurutnya, mangsa maut adalah Muhammad Habil Ammar Mohd Haidhir, 16, manakala rakannya, Azry Akhmal Azhim Afaruzi, 17, mengalami patah bahu kiri dan luka di kaki kanan dan kiri.

Kedua-duanya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa cuba memotong sebuah lori tangki di laluan berkenaan.

“Muhammad Habil yang menunggang Honda RS150R disyaki hilang kawalan lalu bergesel dengan Honda FS150 ditunggang Azry Akhmal sebelum merempuh sebuah lagi Honda C100 ditunggang pekerja kilang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, Azry Akhmal dan pekerja kilang berusia 19 tahun yang mengalami luka peha dan buku lali dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, manakala Muhammad Habil disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Christopher berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus satu lorong dua hala dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

“Setakat ini, tiada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkait kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini