GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah ambulans di kilometer (km) 40 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.
Dalam kejadian 6.15 petang, mangsa, Muhammad Afnan Afiq Sukran, 19, maut di tempat kejadian.
Penumpang hadapan kereta dipandu Muhammad Afnan dan pemandu ambulans cedera.
Tiga penumpang ambulans, masing-masing dua jururawat serta seorang pesakit tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.
“Sampai di lokasi kejadian, di mana keadaan jalan yang lurus, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan ambulans yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.