KLUANG: Seorang pemandu lori tunda yang bimbang dibelasah orang kampung bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang remaja di kilometer (KM) 95, Jalan Batu Pahat – Mersing, jam 12.20 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 48 tahun itu memandu sehingga ke Mersing selepas lorinya bergesel dengan motosikal Yamaha Y15ZR, dipandu mangsa, Mohammad Haziq Haiqal, 18.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dan mempunyai lesen memandu parah di kepala manakala tangannya putus, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati remaja itu dari arah Mersing menghala ke Kluang manakala penunda kenderaan pula dipercayai dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, keduanya telah bergesel di kawasan tengah jalan berdasarkan serpihan yang berada di garisan berkembar tengah jalan.
“Akibat dari perlanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunda kenderaan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Pemandu lori tunda yang takut dipukul oleh orang kampung tidak tunggu di tempat kejadian dan telah memandu terus ke Mersing,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori tunda berkenaan kemudian membuat laporan mengenai kemalangan itu dan akan menjalani pemeriksaan ujian air kencing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.