Tumpuan :
Nasional

Remaja maut dalam perjalanan sertai perlawanan bola sepak 

Remaja maut dalam kemalangan di KM16, Jalan Lipis-Benta pada jam 4.40 petang semalam. – FOTO: Ihsan IPD Lipis/ NSTP

LIPIS: Hasrat seorang remaja untuk menyertai perlawanan bola sepak tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM16, Jalan Lipis-Benta pada jam 4.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Ismail Man berkata, remaja tersebut, Syarif Izzaq Samsudin, 17 tahun yang menunggang motosikal dari rumahnya di Bandar Saujana Putra, Selangor menuju ke Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Kuala Lipis.

“Siasatan awal mendapati, apabila tiba di tempat kejadian yang berselekoh, motosikal yang ditunggang mangsa, telah bergesel di sebelah kiri lori terbabit dari arah yang sama.

“Pemandu lori tersebut seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang datang dari arah Raub menuju ke Padang Tengku, Lipis untuk menghantar muatan kayu getah di sebuah kilang,” katanya.

Katanya, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pihak polis juga menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini