ALOR GAJAH: Seorang remaja maut selepas lebih sembilan jam bertarung nyawa di Hospital Melaka (HM) akibat kecederaan parah dialami dalam kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal, di sini, awal pagi semalam.
Kemalangan itu turut tular di media sosial hingga menerima pelbagai reaksi netizen.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman pada jam 12.37 tengah malam tadi oleh doktor bertugas.
Menurutnya, siasatan polis mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 2.56 pagi semalam semasa kenderaan pacuan empat roda polis terbabit sedang dalam tugas rondaan cegah lumba haram dan dilanggar oleh motosikal ditunggangi mangsa.
Menurutnya, kenderaan terbabit dipandu anggota dari Balai Polis Durian Tunggal yang ke lokasi kejadian selepas menerima aduan awam berkaitan bunyi bising serta terdapat aktiviti lumba haram di kawasan berkenaan.
“Anggota terbabit menyalakan lampu mata arah (beacon light) serta bunyi siren amaran ketika memandu ke lokasi.
“Menyedari kehadiran polis, semua individu yang sedang berkumpul di tepi jalan berkenaan cuba melarikan diri dengan menggunakan motosikal masing-masing.
“Namun, sewaktu kenderaan polis membelok ke arah kanan jalan, ia dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal yang juga pekerja sambilan di sebuah kilang perabot mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, manakala anggota polis berusia 37 tahun tidak cedera.
Menurut Zainol, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.
Berdasarkan video tular selama 40 saat, kelihatan penunggang motosikal melarikan diri dengan motosikal masing-masing sebaik melihat kehadiran polis sebelum motosikal mangsa merempuh kenderaan polis yang membelok ke kanan di lokasi kemalangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.