Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Remaja maut, adik masih hilang dalam kejadian lemas di Bachok


BACHOK: Seorang remaja maut, manakala adiknya masih hilang selepas kejadian lemas di Sungai Kampung Kubang Telaga, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.15 petang, mangsa, Muhammad Amirul Mukmin, 17, meninggal dunia selepas cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Asadullah Zehan, 11, yang terjatuh ke dalam lubang ketika berada di atas sebuah titi di sungai tersebut.

Keluarga mangsa lemas menunggu seorang lagi mangsa yang lemas selepas tergelincir dari jambatan ketika memancing di sungai Kampung Kubang Telaga, mangsa pertama iaitu abang, ditemui jam 8.15 manakala adiknya masih hilang selepas dipercayai lemas pada jam 5.15 petang tadi.- Foto NSTP

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.45 petang.

Menurut laporan awal, kedua-dua beradik itu ke sungai berkenaan bersama seorang rakan, Ahmad Faezie Ikram Fauzi, 17, untuk memancing.

“Saksi (Ahmad Faezie) memaklumkan kejadian berlaku selepas 15 minit mereka bertiga memancing, si adik (Muhammad Asadullah) tergelincir, masuk ke lubang dan terjatuh ke sungai. Abangnya, Muhammad Amirul, terus terjun untuk menyelamatkan adiknya.

“Saksi kemudian meminta tolong penduduk kampung dan memaklumkan kejadian kepada keluarga kedua-dua beradik itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan, dan mayat Muhammad Amirul berjaya ditemui pada jam 8.15 malam, kira-kira 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan jatuh.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak, terutama pada musim cuti sekolah, bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang.

“Kes ini adalah kejadian kedua membabitkan lemas adik-beradik, selepas kes kanak-kanak, Muhammad Bashir Mohd Arman, 6, yang meninggal dunia selepas tergelincir ke dalam sungai di tali air Kampung Mujur, Jelawat, pada 20 Januari lalu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini