HULU SELANGOR: Kegembiraan empat remaja mandi-manda di Air Terjun Lata Medang, Kuala Kubu Bharu, di sini bertukar tragedi apabila seorang rakan mereka lemas hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.26 petang.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang remaja berusia 19 tahun dipercayai lemas ketika mandi bersama tiga rakannya.
“Anggota bertugas kemudian bertindak mencari dan menyelamat mangsa menerusi kaedah ‘surface water rescue’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.