LUMUT: Cuba menyelamatkan rakan yang hampir lemas, seorang lelaki temui ajal di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini, semalam.
Mangsa ialah Lee Zhi Siong, 20, dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas ketika mandi di pantai peranginan itu kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian terbabit jam 3.04 petang.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancarkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Mangsa dijumpai lemas pada jam 3.45 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulau Pangkor.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa yang berusia 20 tahun itu ingin menyelamatkan rakannya daripada lemas ketika mandi di pantai berkenaan, tetapi mangsa telah lemas manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat, siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mohamed Nordin turut menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi terutamanya kawasan pantai supaya memastikan keselamatan diri dan keluarga sepanjang berada di lokasi berkenaan serta memakai jaket keselamatan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
|ARTIKEL BERKAITAN