Oleh: Safwan Sawi
KUDAT: Mayat seorang remaja dikenal pasti sebagai Mohd Hisham Iskandar Azli 13 tahun ditemui di tepi pantai perairan Kudat pada 9.10 pagi tadi sejak dilaporkan hilang lapan hari lalu akibat tergelincir dari Jambatan Gantung Kg Damat-Kg Lakang, Tuaran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mayat mangsa ditemui sejauh kira-kira 102.13 kilometer (KM) iaitu bersamaan kira-kira tiga jam perjalanan kenderaan melalui darat dari lokasi kejadian.
“Mangsa ditemui di tepi pantai perairan Kudat Kg. Rukom pada jam 9.00 pagi oleh orang awam dan pengecaman identiti mangsa oleh ahli keluarga pada jam 4.15 petang.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada Jam 5.00 petang,” kata kenyataan itu hari ini.
8 Julai lalu, mangsa dilaporkan berpakaian baju warna kuning dan berseluar hitam berada di atas jamabtan bersama lima orang rakannya sebelum tergelincir ke sungai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang tamat pada hari kelapan itu melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran serta pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan AM (PGA), Polis Marin, Jabatan Perhilitan,
Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).