comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja lemas di kawasan rekreasi Hulu Langat

HULU LANGAT: Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas lemas ketika mandi-manda di kawasan rekreasi di Jalan Sungai Semungkis-Kampung Sungai Semungkis, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.56 petang tadi.

“Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun lemas dan tersepit di bahagian batu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, kerja-kerja membawa naik mangsa dilakukan anggota bomba bertugas.

“Difahamkan mangsa yang tinggal di Pandan Perdana itu berada di lokasi terbabit bersama 11 rakannya untuk mandi-manda di kawasan itu.

“Mangsa terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain pihak KKM, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi kejadian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini