Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Percutian enam sahabat dari Machang, Kelantan ke Terengganu, bertukar tragedi apabila salah seorang dari mereka maut dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Irham Tarmizi Rusaini, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Nor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, mayat mangsa ditemui oleh pekerja pembersihan di tingkat enam pangsapuri tersebut.
Mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.