
Oleh: Kadir Edison
LIMBANG: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika memasang pukat bersama bapa saudaranya pada Sabtu lalu ditemukan lemas berdekatan Kampung Pulau Brunei, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa, Joence Jordisone Jamit, 16, ditemui sekitar jam 9.00 pagi oleh orang awam yang melakukan pencarian mangsa di Sungai Medamit berhampiran lokasi mangsa pertama, Atin Isik, 62, ditemui, semalam.
“Anggota Bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 9.20 pagi dimaklumkan ditemui oleh orang awam yang melakukan pencarian di Sungai Medamit berhampiran lokasi mangsa pertama ditemui.
“Tindakan anggota membantu membawa mangsa ke Rumah Thaddeus, Kampung Pulau Brunei untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, berdasarkan maklumat daripada keluarga, kedua-dua mangsa keluar rumah untuk memukat ikan di sungai berdekatan Kampung Pulau Brunei kira-kira jam 12 tengah hari, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, sehingga jam 11.24 pagi semalam kedua-dua mangsa masih tidak pulang ke rumah sekali gus mendorong ahli keluarga membuat pencarian awal mangsa.
“Mangsa pertama ditemui ahli keluarga yang membuat pencarian awal semalam (16 Februari) dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia di tebing sungai berdekatan dengan Kampung Pulau Brunei tersebut,” katanya.
Susulan itu, pencarian mangsa kedua dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bersama penduduk kampung sebelum ia ditangguhkan sekitar jam 6.00 petang semalam akibat cuaca gelap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.