TAPAH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ketika memancing dengan rakannya di kawasan peranginan Kuala Woh, hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad jasad mangsa ditemui berhampiran tempat yang dilaporkan mangsa terjatuh kira-kira jam 2.02 petang tadi.
Kata Sabarodzi sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Intan telah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian kira-kira jam 12.23 tengah hari.
“Tiba di tempat kejadian mendapati seorang remaja lelaki berumur 15 tahun telah terjatuh ke dalam sungai ketika memancing dengan rakan akibat tergelincir.
“Komander operasi membuat ‘size up’ dan memulakan pencarian dengan bantuan PPDA BBP Teluk Intan serta membuat membuat pencarian secara ‘surface searching’ menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saboradzi berkata, mangsa kemudian dijumpai berhampiran tempat di mana mangsa dilaporkan terjatuh kira-kira jam 2.02 petang tadi.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi telah ditamatkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.