comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Remaja lelaki dipercayai berlumba haram maut rempuh kereta

Oleh: Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: Seorang remaja lelaki, 18 tahun maut selepas motosikal dinaikinya melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian berlaku di Persimpangan lampu isyarat Astaka Seagate kira-kira jam 4.30 pagi.

Katanya, ketika kejadian pemandu kereta Proton Persona berusia 18 tahun berada dalam perjalanan dari Queensbay Waterfront ke Jalan Tengah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

“Semasa lampu isyarat berwarna hijau dan membelok ke kanan, tiba-tiba datang motosikal Yamaha RXZ dari arah bertentangan menuju ke Batu Maung dan telah melanggar kereta terbabit.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta cedera di tangan kiri, manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, ketika kejadian jalan raya berada dalam keadaan basah disebabkan cuaca hujan dan rakaman kamera litar tertutup serta saksi bebas sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Tidak dapat disahkan (sama ada mangsa berlumba haram). (Masih) dalam siasatan,” tambahnya ketika ditanya sama ada mangsa terbabit dalam lumba haram ketika kejadian.

Ia susulan dua rakaman video dipercayai insiden terbabit tular di media sosial menunjukkan dua buah motosikal sedang berlumba dengan aksi berbahaya dan salah sebuah motosikal melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kereta
di persimpangan lampu isyarat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini